Monday, January 18, 2010

Jurnal Haji 1430H - Part 2

Suasana dingin mula dirasai selepas pukul 12malam. Kami menunggu di dalam Dewan Kompleks Tabung Haji. Mendengar taklimat. Para jemaah, kelihatan letih. Jemaah yang paling muda di dalam penerbangan KT07 adalah adik lelaki berumur 12thn dari Batu Pahat Johor.

Pukul 1.30 pagi, setelah bacaan doa, azan di laungkan oleh Ustaz Ghazali, iaitu adik kepada arwah Ustaz Asri Rabbani. Kami beratur menaiki bas khas yang disediakan. Aku bersama ibu manakala ayah di belakang kami. Di dalam bas, kami tidak terus bergerak. Masih menunggu beberapa buah bas lagi memenuhkan jemaah. Ketika menunggu, aku sempat meng-update status di FB ''Goodnite Malaysia. Sweetdreams. Salam'' Aku melihat sekeliling, ramai jemaah yang tidur. Letih. Termasuk ayah. Siap dengkur -____-"

Siren polis dibunyikan. Kami bergerak menuju ke KLIA diiringi pasukan polis. Memandangkan ianya lewat mlm, tidak banyak kereta yang ada. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar. Selepas memasuki lebuhraya menghala ke KLIA, aku tewas dengan keletihan. Aku tidur. Aku sedar kembali setelah berada di 'runaway' KLIA. Kami turun dan memasuki dewan khas. Tandas, adalah tempat utama para jemaah pergi. Jam!



Masa terus bergerak dan akhirnya kami menaiki pesawat SV5007, penerbangan Saudi Airlines terus ke Madinah Al-Munawarrah. Penerbangan yang sepatutnya berlepas pada pukul 1 pagi, ditunda pada pukul 5 pagi. Di dalam pesawat, aku bersama ibu duduk berhampiran dengan pintu pesawat Boeing 747 ini iaitu berhampiran dengan enjin. Kapal terbang besar yang mempunyai 'upper-deck'. Kami terpisah dengan ayah yang duduk di bahagian belakang.


Perjalan dari KLIA ke Madinah mengambil masa 8jam. Inilah peluang untuk kami semua para jemaah berehat sebelum fokus dengan aktiviti-aktiviti kami di sana nanti. Bermula dari pengesahan penerbangan, kenduri, sehinggalah berpacking, semuannya dilakukan secara berterusan. Maka inilah peluang kami untuk berehat.

Setengah jam perjalanan, kami dihidangkan dengan makan malam (ianya sepatutnya makan malam pada pukul 1 pagi tadi. Tetapi ia dihidangkan juga kerana penerbangan ditunda pada pukul 5 pagi). Aku tidak berselera. Jujur. Mungkin kerana waktu makan yang telah beralih waktu dan juga kepenatan yang melampau. Aku cuma menjamah sedikit sahaja sekadar mengalas perut. Setelah makan, aku berselimut untuk tidur. Letih dan ngantuk.

Satu jam setengah penerbangan, kami di duga lagi. Air turbulence. Iaitu pergolakan angin apabila pesawat melalui di dalam awan. Kapal terbang tidak stabil. Turun naik dan bergegar. Ibu genggam erat tangan aku. Dia memang sedikit penakut. Di setiap bibir para jemaah, masing-masing membaca doa agar perjalanan di permudahkan. Bohong jika aku katakan bahawa aku tidak takut, tetapi ketika kejadian itu berlaku, aku antara sedar dan tidak sebab mata aku pejam dan aku memang dalam keletihan dan mengantuk tahap melampau. Sesekali aku terjaga kembali setelah ibu pegang erat lagi tangan aku. Air turbulance adalah perkara biasa di alami di dalam mana-mana penerbangan. Tetapi, kali ini sungguh berbeza sekali. Mengapa aku katakan demikian? Pertama, adalah kerana kedudukan kami yang berhampiran dengan enjin yang bising, amat menakutkan. Aku membayangkan akan terbukak nya pintu pesawat ini secara tiba-tiba, bagaimana agaknya? Kedua kerana dihadapan tempat duduk kami adalah tempat duduk steward dan stewardess, betul-betul menghadap kami. Ianya mula menakutkan aku apabila tiba-tiba 2 orang steward berlari, duduk dan terus memasang tali pinggang keselamatan di hadapan kami. Aku tahu, ini benar-benar bahaya! Ibu sempat bertanya kepada salah seorang steward yang masih berdiri tentang berapa lama lagi Air turbulance ini. Jawapan yang di berikan, ''Maybe half an hour?'' sambil menutup tingkap yang berhampiran dengan ibu. Mungkin dia tidak mahu ibu tengok di luar dan panik.

Setelah keadaan kembali tenang. Tidur adalah aktiviti utama oleh kebanyakkan jemaah. Aku memang tidur mati. Tak ingat apa dah. Aku cuma ingat aku dikejutkan oleh stewardess untuk buka meja untuk waktu makan kedua. Setelah meja di buka, aku sambung tidur semula. Kemudian, aku dikejutkan lagi untuk memilih makanan. Aku rasa aku hanya angguk sahaja. Memang ngantuk betul. Dan setelah makanan dihidangkan, aku hanya buka, lihat, dan kemudian tutup semula penutup dan sambung aktiviti tidur aku....

Kira-kira sejam sebelum kami tiba di Madinah, aku mula segar setelah terkena tempias cahaya matahari melalui tingkap. Aktiviti ringan seperti mengunyah kacang dan membasahkan tekak dengan jus ceaser dan kemudian ke tandas adalah aktiviti aku setelah bangun pagi. Setelah makin hampir, ibu berpesan kepada aku untuk melihat bukit bukau, gunung ganang yang memberikan pandangan padang pasir yang cukup menarik! Aku sememangnya berdebar untuk melihat tanah arab ini. Maklumlah, pertama kali sampai. Selama ini hanya lihat melalui buku, tv dan mendengar pengalaman orang. Tidak dapat dibayangkan bagaimana pemandangan sebenar. Subhanallah! Aku mula membuka buku doa kecil yang diberikan oleh pihak Tabung Haji, lalu membaca 'Doa ketika melihat bangunan di Madinah'.

Oh ya, mungkin ada yang bertanya bagaimana dengan solat subuh kami? Mengambil wudhuk di dalam penerbangan amatlah membahayakan seperti yang dilakukan oleh beberapa jemaah. Aku bersyukur kerana pengalaman mengikuti perkhemahan Kadet Remaja Sekolah ketika zaman sekolah dulu banyak mengajar aku tentang cara berwudhuk dan solat secara musafir. Ini kerana pengalaman aku ketika mengikuti perkhemahan peringkat negeri Selangor memerlukan kami untuk berjalan sepanjang 16km dari Kem Semenyih ke Kem Tekali, iaitu kira-kira 30minit perjalanan menaiki kenderaan dan 4jam bagi berjalan kaki! Di sana kami di ajar bagaimana untuk mengambil wudhuk dengan air yang terhad dan bersolat secara musafir. Aku juga bersyukur kerana pernah di ajar oleh Ustazah Norhayati ketika di tingkatan 4, tentang bagaimana jika kita di dalam perjalanan(kereta/kapal terbang) dan waktu solat telah masuk. Adalah memadai jika kita bersolat menghormati waktu dan sekiranya telah selamat sampai, maka kita qada' lah ia. Ini adalah antara sedikt ilmu yang aku kongsi kan bersama mak aku.

Alhamdulillah, kami akhirnya selamat mendarat di bumi Madinah Al-Munawarrah pada jam 8 pagi waktu Saudi.



Bersambung...

No comments: